Kesedihan
adalah satu fitrah yang Allah ciptakan kepada hamba Nya.
Kadangkala
kesedihan mampu membuat kita kembali kepada Nya dan kadangkala juga kesedihan
membuat kita jauh dari Nya. Semuanya berlaku kerana izin Allah Ya Rabbul
Izzati.
Maka
kemanakah tempat terbaik untuk kita mencurahkan kesedihan agar ia tidak menjadi
perkara yang sia-sia?.
Manusia
sering kali bersedih kerana perkara duniawi semata-mata. Apabila kita gagal
dalam peperiksaan, kita akan sedih. Ketika putus cinta dengan kekasih kita akan
bersedih. Hatta apabila kita kehilangan sesuatu yang kita sayangi, kita juga
pasti akan bersedih.
Persoalannya,
wajarkah untuk kita bersedih semata-mata perkara dunia yang kelihatan besar di
mata kita sebenarnya terlalu kecil di mata Allah Azzawajalla.
Hadith Sahih
“Seandainya
nilai dunia ini di sisi Allah sama nilainya dengan sayap seekor nyamuk, nescaya
Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir walau seteguk air”
Menurut Allah,
dunia lebih tidak berharga dari sayap seekor nyamuk. Maka inilah hakikat
sebenar nilai dan timbangan dunia di sisi Allah.
Lalu atas alasan
apa untuk kita bersedih dan gelisah kerana hal dunia semata-mata?.
Sheikhul
Islam Ibnu Taimiyyah pernah mengatakan,
“Mengingati
Allah itu ibarat air kepada ikan,lihat keadaan ikan apabila berjauhan tanpa air”
Ibnu Qayyim
Al Jauziyyah mengatakan,
“Di dalam
hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali gembira mengenali
Allah”
Sakinah atau
kebahagiaan adalah apabila kita dapat merasakan aman diri sendiri, masa depan,
keluarga dan kehidupan. Semua ini terhimpun dalam keimanan, redha terhadap
Qadha’ dan Qadar Allah serta diiringi oleh sifat qana’ah dan sabar.
Oleh itu,
kembali kepada hakikat hidup yang sebenar. Jadikanlah kesedihan itu sebagai
ruang untuk kita meraih pahala daripada Nya dan bukannya kita lemparkan dan
luahkan segala kesedihan kita semata-mata kerana dunia, kerana dunia ini
terlalu kecil untuk ditangisi.