Aku Ingin Berubah

"Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya 
sekiranya mereka mengetahui"
(Surah al-Ankabut, ayat 64)

Keinginan Untuk Berubah

Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. 
Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar 'setan' itu jauh disudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.
Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikkan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.

Firman Allah S.W.T
"Allah memberi nur langit dan bumi. Umpama cahaya Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang tumbuh bukan di timur atau di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjukki sesiapa yang dikehendakiNya kepada cahaya itu. 
Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu"
(Surah an-Nur, ayat 35)

Bersyukur

Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untu kembali ke pangkal jalan. 
Sebaliknya, bersyukurlah dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan.
Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.


Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. 
Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatangkan kebaikkan dan keseronokkan pada diri.

Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan sesuatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?.

Hidayah Naluri

Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. 
Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri atau keinginan. Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia.
Contonhnya, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar.Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar.

Yang keduannya, ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. 

Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasionalnya sebelum berindak.

Hidayah Agama

Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah S.W.T. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikkan dan meninggalkan larangan Allah sekaligus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.

Hidayah Taufik

Hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hamba yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar ganti dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.

Hidayah diturunkan dengan dua cara iaitu pemberian makhluk sama ada dari kalangan nabi, pendakwah dan sesiapa sahaja. Contohnya, hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun hidayah taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana firman Allah.

"Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah atau petunjuk kepada orang yang engkau cintai, tetapi Allah akan memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki"
(Surah al-Qashash, ayat 56)

Adapun ciri-ciri yang sudah mendapat hidayah, mereka beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.

Biarpun hidayah itu pemberian Allah, tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah.
In Sha Allah, kita pasti akan diberikan hidayah.