Fatimah Al-Zahra Puteri Rasulullah

Tabahkan dirimu bak serikandi Khadijah, Haluskan akhlakmu seperti Fatimah Az-Zahra, Sampaikan ilmumu sebijak si merah Aisyah, Teguhkan imanmu seteguh Sumayyah, Sucikan hatimu seperti Rabiatul Adawiyah, Barulah dirimu menjadi Ainul Mardiyah.

Sabda Rasulullah s.a.w :

" Malaikat turun lalumenyampaikan khabar gembira kepadaku bahawa sesungguhnya Fatimah binti Rasulullah adalah pemimpin para wanita penghuni syurga."

Saidatina Fatimah r.a, puteri Rasulullah s.a.w dilahirkan di Ummul Qura, ketika orang-orang Quraisy membina semula bangunan Kaabah. Fatimah r.a merupakan puteri bongsu dan puteri utama pasangan Rasulullah dan Siti Khadijah. Fatimah membesar di rumah nubuwwah yang suci, matanya celik seawal usia untuk menjadi saksi urusan risalah yang dikhususkan khas Allah bagi ayahnya. Ibunya Siti Khadijah pendamping Rasulullah s.a.w.
Suami Fatimah adalah khalifah Ar-Rasyidin yang utama, Saidina Ali bin Abu Thalib r.a. Anak-anak kepada pasangan ini adalah dua orang pemimpin para penghuni syurga, dua cucu Rasulullah, Al-Hasan dan Al-Husin.

Wanita yang Sabar dan Bertaqwa

Fatimah menyaksikan segala bentuk kesulitan yang dihadapi Baginda, malahan beliaulah yang mengubati kesedihan dan menghiburkan hati bapanya saat berhadapan dengan kejahilan kaum musyrikin ketika itu.
Salah satu peristiwa yang kekal diingatan puteri Rasulullah ini ialah apabila menyaksikan penghinaan dari salah seorang Quraisy yang kasar dan sangat buruk tingkahlakunya, Uqbah bin Abu Mu'aith. Si jahil ini menawarkan diri untuk melemparkan kotoran isi perut unta ke belakang tubuh Rasulullah ketika baginda sedang sujud seihngga baginda tidak mampu untuk bangkit dari sujudnya. Saidatina Fatimah mendatangi bapanya untuk membersihkan kotoran tersebut, sebelum menghampiri kelompok musyrikin yang merancang perbuatan keji itu. Dengan lantang dan penuh berani, beliau mencaci dan mencela tindakan mereka yang sangat tidak beradab itu. Seusai solat tersebut, Rasulullah menadahkan tangan baginda dan berdoa bagi kecelakaan mereka, dengan bersabda :

" Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Syaibah bin Rabi'ah, Abu Jahl bin Hasyim, Uqbah bin Abu Mu'aith dan Ummayah bin Khalaf."

Doa Baginda dikabulkan Allah s..w.t, nama-nama kaum musyrikin yang disebutkan di dalam doa tersebut terbunuh semasa Perang Badar.
Kehidupan Saidatina Fatimah juga tidak lari dari penderitaan akibat perbuatan kejam kaum musyrikin yang membenci dakwah rasulullah s.a.w. Salah satunya ialah ujian pemboikotan ke atas seluruh kaum Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib di mana orang-orang Musyrik menemukan kata sepakat untuk melancarkan boikot secara penuh terhadap mereka. Tidak ada urusan jual beli, tidak ada pembicaraan, tidak ada pergaulan sehinggalah Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib menyerahkan Rasulullah kepada orang-orang Quraisy.
Akibatnya, seluruh kerabat Rasulullah kecuali Abu Lahab dipulaukan dan dikepung di perkampungan Abu Thalib. Sepanjang tempoh hampir tiga tahun itu, seringkali kedengaran tangisan anak-anak kecik dan rintihan para wanita lantaran kelaparan. Natijah dari peristiwa ini, kesihatan Saidatina Khadijah merosot dan berlanjutan sehinggalah beliau kembali bertemu dengan Rabbnya.
Kesan terbesar dari episod permulaan tersebut ialah pemergian ibunya. Dengan kehilangan itu, Fatimah lah yang sering memikul beban kehidupan dan berkongsi penderitaan berat yang dialami oleh Rasulullah s.a.w. Walaubagaimanapun, hal tersebut malah menambahkan keimanan dan ketaqwaan dirinya serta membuatkan beliau semakin dekat dengan ayahnya.
Saidatina Fatimah juga antara wanita yang berhijrah. Di Madinah, beliau membuka lembaran baru kehidupan dikelilingi kaum yang murah hati, yang mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka serta melebihkan kaum Muhajirin lebih dari diri mereka sendiri.

Teladan Rumahtangga Ali dan Fatimah


Pada tahun kedua selepas Hijri, Saidina Ali bin Abu Thalib menikahi Saidatina Fatimah dengan maharnya baju besi yang nilainya hanya empat dirham. Pernikahan penuh berkat itu terjadi setelah Perang Badar Al-Kubra.
Semenjak hari pertama pernikahannya dengan Ali, beliau terpaksa mengerjakan seluruh tugas rumah tangga yang sangat berat ketika itu. Bermula dari menggiling bahan makanan dan membuat adunan roti.
Beliau juga memproses dan memasak adunan roti tersebut. Ini kerana suaminya tidak pernah mengupah pembantu untuk membantu Fatimah dalam menyelesaikan urusan rumahtangganya. Bahkan Ali sempat berpesan kepada ibunya Fatimah binti Asad,
" Janganlah membebani Fatimah dengan pekerjaan di luar rumah dan cukuplah dia mengerjakan pekerjaan di dalam rumah, membuat tepung, adunan roti dan memasak."
Ali juga menyedari kesan-kesan keletihan di wajah Fatimah, tetapi beliau sering menghiburkan isterinya dengan menyebutkan harta rampasan dan tawanan perang akan datang kepada mereka.

Apabila tiba masa yang sesuai, Ali menasihati isterinya agar mendatangi Rasulullah untuk meminta seorang pembantu dari kalangan tawanan perang. Permintaan keduanya ditolak secara baik oleh Rasulullah kerana Baginda lebih mementingkan kemaslahatan kaum muslimin yang lain. Rasulullah menyusuli pasangan tersebut di waktu tengah malam dan bersabda kepada keduanya :

" Bagaimana jika kuberitahu kepada kalian berdua tentang sesuatu yang lebih baik dari apa yang kalian pinta kepadaku?. Ada beberapa kalimat yang diajarkan Jibril kepadaku, hendaklah kalian bertasbih kepada Allah di hujung setiap solat sebanyak sepuluh kali, bertahmid sepuluh kali dan bertakbir sepuluh kali. Jika kalian beranjak ke tempat tidur, bertasbihlah tiga puluh kali, bertahmidlah tiga puluh kali dan bertakbirlah tiga puluh kali. "

Kalimah ini menjadi bekalan Ali dan Fatimah yang sentiasa mereka lafazkan sehingga akhir hayat mereka.

Kemuliaan Peribadi Fatimah

" Di antara para wanita yang suci dan bertaqwa ialah Fatimah r.a.
Dia menghindari dunia dan kesenangannya, mengetahui aib dan bencananya."

Kehidupan Fatimah Az-Zahra diwarnai kesederhanaan namun ditaburi barakah dan cahaya yang mengisyaratkan zuhud, wara' dan ketakutannya pada Allah serta sentiasa membuat baik semata-mata untuk meraih keredhaanNYa. Rasulullah pernah menegur Fatimah ketika puteri kesayangan Baginda itu mengenakan seuntai kalung emas hadiah pemberian suaminya. Rasulullah kemudiannya bersabda :

" Inilah Fatimah binti Muhamad, yang di tangannya terpegang kalung dari api neraka?."

Saidatina Fatimah lantas membeli seorang hamba dengan kalung emas tersebut dan memerdekakannya. Sebaik Rasulullah mengetahui hal tersebut, Baginda bersabda :

" Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan Fatimah dari api neraka."

Fatimah Az-Zahra mencapai tingkat ketaqwaan, keutamaan dan zuhud yang tidak terkalah oleh wanita di zamannya. Beliau turut menepati kedudukan yang tinggi dalam hal As-shiddiq, yang suci dan diberkati. Kemuliaan ini diakui oleh Saidatina Aisyah dengan menyebutkan,

" Aku tidak melihat seseorang yang lebih benar perkataannya selain Fatimah, kecuali ayahnya."

Beliau menduduki tempat kedudukan istimewa di antara para wanita Islam, sehingga beliau mendapat sebutan 
Al-Batul, kerana kelebihan beliau di dalam lapangan ibadah, ditambah dengan kelebihan agama dan keturunannya.

" Fatimah seorang wanita yang sabar, taat beragama, baik, menjaga kehormatan diri, suka bersyukur kepada Allah dan Rasulullah sangat memuliakannya."

Mujahidah yang Memenuhi Hak

Saidatina Fatimah tercatat di antara tokoh muslimah yang namanya ahrum di medan perang. Di dalam perang Uhud, Imam Bukhari mengisahkan peranan Fatimah :

" Beberapa orang wanita dikalangan Muhajirin dan Ansar termasuk Fatimah
keluar sambil mengusung air dan makanan di belakang mereka. Ketika beliau menyaksikan darah mengucur di wajah ayahnnya, maka beliau segera memeluknya lalu mengusap darah di wajah baginda. Pada saat itu Fatimah bekata :

" Amat besar kemarahan Allah s.w.t terhadap orang-orang yang membuatkan wajah RasulNya berdarah."

Sah'l bin Sa'd menceritakan peristiwa tersebut dengan menyatakan :

" Rasulullah terluka sehingga gigi baginda patah. Fatimah mencuci darah yang mengucur di wajah Baginda, dan Ali mengalirkan air dengan menggunakan bekas air. Ketika Fatimah melihat bahawa air tersebut semakin membuatkan darah mengalir deras, maka beliau mengambil potongan tikar dan membakarnya sehingga menjadi abu. Lalu disapukan di luka Baginda, sehingga darah tidak lagi mengalir dari luka tersebut. "

Kekasih Rasulullah

Rasulullah pernah ditanya oleh seseorang.

" Siapakan orang yang paling engkau cintai?."

Baginda menjawab :

" Fatimah "

Fatimah menduduki tempat tersendiri di dalam hati Rasulullah, yang tidak dapat ditandatangani oleh wanita-wanita lain. Cukuplah kemuliaan baginya seperti yang digambarkan oleh Saidatina Aisyah r.a :

" Aku tidak melihat seorang pun di antara manusia yang lebih mirip dengan Rasulullah dalam perkataannya, dalam ucapannya dan cara duduknya melainkan Fatimah. Jika Rasulullah melihat Fatimah datang, maka Baginda menyambutnya, bangkit, menghampirinya lalu memeluknya, memegang tangannyadan mendudukkannya di tempat yang sebelumnya baginda duduk. Jika Nabi Muhamad yang datang, maka Fatimah menyambutnya, bangkit menghampiri Baginda dan memeluknya."

" Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian dari diriku dan aku tidak suka jika ada sesuatu yang menyakitinya."

Ibnu Abdil-Barr menyebutkan keluhuran Fatimah yang mengisyaratkan keutamaan beliau disisi Rasulullah dan berkata :

" Jika Rasulullah tiba dari peperangan atau perjalanan jauh, maka yang pertama sekali Baginda lakukan ialah memasuki masjid dan melakukan solat dua rakaat, menemui Fatimah dan barulah kemudiannya menemui isteri-isteri Baginda yang lain."

Perjalanan Menuju Keabadian

Di akhir hayat Rasulullah, Ummul Mukminin Aisyah menuturkan :

" Kami isteri-isteri Baginda berkumpul hampir dengan Rasulullah. Baginda tidak mendekati salah seorang dari kami, kecuali apabila melihat kehadiran Fatimah yang gaya jalannya sangat mirip dengan gaya jalan Rasulullah. Baginda menyambut kehadiran puterinya lalu mendudukkannya sangat hampir di sisi dirinya. Kemudian, Baginda membisikkan perkataan yang mampu membuatkan Fatimah menangis, dan bisikan kedua membuatkan Fatimah tersenyum. Kami hanya mengetahui perkara tersebut setelah Rasulullah wafat."

Fatimah berkata, sabda Baginda :

" Pada kali pertama, Baginda memberitahu kepadaku bahawa biasanya Jibril memperlihatkan Al-Quran sekali dalam setahun. Sementara pada tahun ini, dia memperlihatkannya dua kali."

Maka Fatimah menangis. Ketika melihat kesedihanku, maka Baginda bersabda :

" Apakah engkau tidak redha sekiranya engkau menjadi pemimpin para wanita alam semesta atau para pemimpin wanita umat ini."

Maka Fatimah pun tersenyum.

Nisa' Mubassyarat Bil Jannah

Rasulullah bersabda :

" Wanita penghuni syurga yang paling utama ialah Khadijah binti Khuwalid, Fatimah binti Muhamad, Asiah binti Mazahim yakni isteri firaun dan Maryam binti Imran."

" Malaikat turun kepadaku menyampaikan khabar berita gembira bahawa Fatimah binti Muhamad adalah pemimpin para wanita penghuni syurga."