Jaga Diri Sayang

Bermula dengan perbualan biasa, bergurau senda, percampuran barisan semasa membeli makanan di kantin atau gerai-gerai jualan, percampuran jantina dalam setiap aktiviti yang dijalankan dan sebagainya itu adalah permulaan kepada pergaulan bebas.

Pada mulanya, pandang-memandang. Lama-kelamaan, memberi kesan ke dalam hati kerana pandangan mata merupakan busur panahan dari iblis.

Rasulullah bersabda yang bermaksud
"Panahan mata itu merupakan satu daripada sekian anak panah..”

Pandangan pertama adalah anugerah atau lebih tepat lagi dikatakan sebagai ‘lampu hijau’. Manakala pandangan kedua adalah ‘lampu kuning’. Dan pandangan yang ketiga pula merupakan ‘lampu merah’. Jika lebih daripada itu, maka berlakulah maksiat yang dinamakan sebagai ‘zina mata’.
Pandangan yang berulang-ulang adalah suis utama yang menyalakan api rindu. Bagi mereka yang memandang dengan sepintas lalu, sangat jarang dan kecil peratus hatinya terusik ataupun untuk jatuh hati.

Ibn Qayyim memberikan sebab mengapa rasa rindu berlebihan terjadi. Antaranya, hati tidak terisi oleh rasa cinta, syukur, zikir dan ibadah kepada Allah sebaliknya, lebih kepada perbuatan mata meliar. Pandangan dan renungan mata adalah jalan yang menuju kepada kesedihan dan keresahan.

Ibn Qayyim menyatakan : “Orang yang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak ditimpa pelbagai kerosakkan. Barang siapa yang terjatuh ke dalamnya, maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri, tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya”.

Masa remaja adalah masa yang penuh dengan gelora perasaan kerana masa remaja merupakan transisi menuju ke alam dewasa. Remaja dan cinta memang tidak dapat dinafikan lagi. Perasaan ingin menyayangi dan disayangi itu sentiasa ada dalam setiap sanubari remaja.

Islam tidak mugkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti sedia ada jika manusia diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu? Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik.
Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah pelaksanaannya. Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termeterainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Satu-satunya ruang cinta yang diredhai Allah ialah cinta selepas diijabkabulkan.

Rasulullah juga mempunyai perasaan menyayangi dan disayangi. Cintanya pada Siti Khadijah, isteri baginda melalui ranjau perjuangan. Siti Khadijah lah yang telah banyak memberi perangsang kepada baginda. Kasih sayang Siti Khadijah telah menyelimuti hati baginda ketika keluh kesah.
Islam sama sekali tidak menghalang rasa kasih sayang itu. Buktinya ditunjuk melalui Rasulullah SAW. Baginda menangis ketika Siti Khadijah pergi meninggalkan alam ini sehinggakan tahun pemergian Siti Khadijah dikatakan tahun berkabung (berduka cita). Berkasih sayang itu fitrah. Memang tidak salah. Tapi janganlah sampai melanggar batas-batas yang disarankan oleh agama kita. Andai benar cinta dan sayang, pasti kita mahu diri dan pasangan sama-sama berkasih sayang di Syurga-Nya kan? Jadi, peliharalah! Agar jodoh kita juga terpelihara. Jangan sesekali biarkan Syaitan ketawakan kita di Neraka.

Syurga Cinta

Kesyukuran dipanjantkan kehadrat Illahi atas peluang untuk meminta keampunan bagi menebus dosa dan masih berpeluang untuk menambah bekalan untuk dibawa ke akhirat.
Hari berlalu pergi, siang malam silih berganti..
Hatta musim juga silih berganti..terlalu berharga buat diri..

Moga Allah menilai setiap detik dengan belas rahmatnya.

Ikatan permulaan cinta...

Mahabatullah, cinta seorang hamba kepada Allah. Cinta dalam perspektif Islam iaitu kita menunaikan perintahNya serta menjauh larangannya.
Cinta terbahagi kepada dua iaitu cinta sang makhluk kepada pencipta dan cinta makhluk sesama mereka. Malah, cinta antara makhluk itu banyak pula tahapnya dan seharusnya disandarkan hanya pada Allah.

"Dan segala sesuatu yang kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah"
Surah Az-Zariyat : 49

Fitrah harus diurus sebelum hanyut mengikut arus.

Perkahwinan itu satu sunnah dan pastinya indah. Maka janganlah dinodai dengan sesuatu yang keji dan jangan pula dibiarkan nafsu menguasai.
Sesiapa yang membiarkan ikatan pertunangan dan era mudanya dinodai, akan membenihkan penyakit yang serius pada hati. Tanpa taubat yang sebenar-benarnya..Allah s.w.t akan membiakkan lagi peluang dan ruang dalam dirinya untuk menjadi seseorang yang hina.

Maka beringatlah wahai diriku dan teman-temanku...

Risikan cinta

Jika benar yakin dengan ketentuan yang Maha Pengasih, usahlah teragak-agak. Segeralah..
Gunakan jalan yang paling diredhai Allah s.w.t. Laksanakanlah sebagaimana yang diajarkan oleh Islam. Perbanyakkan istikharah dalam menentukan pilihan dan membuat keputusan. Berbincang serta memohon restu daripada orang tua agar hubungan yang bakal dibina meraih redha Illahi.


"Sebaik-baik wanita adalah yang murah maharnya"
HR Ahmad

Berkenalanlah ketika khitbah. Tempoh emas untuk mengenali hati budi, berkongsilah apa sahaja yang dirasakan mustahak. Satu tempoh yang penuh dengan dugaan dan pasti akan sangat teruji.
In Sha Allah jika memahami tujuan tertubuhnya sebuah ikatan rasmi, Allah akan permudahkan.

Semoga Allah ukirkan kenangan terindah walau tika susah dan senang, jatuh dan bangun..semoga segalanya dipermudah. Allah memberi peluang untuk meraih pahala dengan cara yang paling mudah dan indah.. Cinta seindah pelangi..

Akhirul kalam, usah risau jika tiada, kerana Allah tahu yang terbaik. Jika tiada didunia, dia menantimu di syurga.

Lindungi Hati Ini Ya Rabb

Hati jatuh cinta?

Tiada yang pelik, bukankah cinta itu adalah fitrah manusia?

Diri juga punya hati dan rasa.

Tahukah kalian betapa berbezanya ketika cinta seorang lelaki menyapa hatinya? 
Tiada senyuman bahagia, tiada rona malu di wajahnya, tiada perasaan suka di dada. 
Namun sebaliknya...

Ketika hati jatuh cinta, yang ia rasakan adalah ketakutan yang begitu besar akan cinta yang tidak lagi suci.

Yang ada hanyalah kegelisahan, kerana rasa yang salah arah. 
Yang ada hanyalah penderitaan yang mula dapat dirasai dan hati mulai disakiti.

Ketika hati jatuh cinta, bukan harapan untuk bertemu yang ia nantikan, tetapi yang ada hanyalah rasa ingin menghindar dan menjauh dari cinta seorang lelaki.

Tiada kata-kata cinta dan rayuan. 

Yang ada hanyalah kekhuatiran yang amat sangat, akan hati yang mulai merindukan lelaki yang belum halal atau mungkin yang tak akan pernah halal baginya.

Ketika hati jatuh cinta, maka perhantikanlah kegelisahan yang tidak mampu lagi memberikan ketenangan di wajah yang dulunya teduh. Ia akan terus berusaha mematikan rasa itu bagaimana pun caranya. 
Bahkan jika cinta ia harus hilang, maka itupun akan dilakukan.

Alangkah kasihannya jika hati jatuh cinta. 
Kerana yang ada hanyalah penderitaan.

Tetapi hati, bersabarlah.
Jadikan ini ujian dari Rabbmu. Matikan rasa itu secepatnya. Pasang tembok pembatas antara kau dan dia.

Pasangkan duri dalam hatimu, agar rasa itu tidak tumbuh bersemai. 
Cuci dengan air mata penyesalan akan hijab yang sempat tersingkap. Putarkan balik kemudi mu wahai hati, agar rasa itu tetap terarah hanya padaNya.

Pupuskan rasa rindu padanya dan kembalikan rasa rindu akan cinta Rabbmu.

Wahai khalbu, janganlah khuatir kau akan kehilangan cintanya. Kerana jika memang kalian ditakdirkan bersama, maka tak akan ada yang dapat mencegah kalian bersatu.
Tetapi ketahuilah, bagaimana pun usaha yang kau lakukan unntuk bersatu, jika Allah tidak menghendakinya, maka tidak akan bersatu selamanya.

Hati, bersabarlah.
Biarkan Allah yang mengaturnya. Maka yakinlah, semuanya akan baik-baik sahaja.

Semuanya akan indah pada waktunya.

Bicara buatmu, Hawa..

Bicara buatmu, Hawa..

Semoga kehadiran warkah ini tidak akan mengocak kedamaian dan ketenangan hatimu..
Hawa,..
Sekali lagi kesedihan menyelubungi hati ini.
Hawa, kemana hilangnya sopan dan santun dan rasa hormatmu terhadapku?. Kalau dulu, untuk mengucapkan sebaris kata di hadapan ku sekalipun.. Kau hanya menundukkan pandanganmu dan menyusun kata sebaik-baiknya dan seatur mungkin. Namun hari ini, suatu kebiasaan jika ku perhatikan malumu kian lenyap. Antara kita seolah-olah tiada lagi hijab yang menghalang dan kau bisa menyapaku tanpa segan silu.. Malu itu selayaknya kau punyai, tapi apa yang terjadi kini?
Hawa,..
Apa yang membimbangkan ku, keadaan ini bisa menjadikan kita  makin hampir mengetepikan tuntutan perintah Allah. Pergaulan yang ku kira tidak wajar antara muslimin dan muslimat menenggelamkan ku dalam kekalutan perasaan. Terlalu bimbang kiranya suatu hari nanti menjadi kebiasaan jika dilihat kaummu dan kaumku bisa seiringan tanpa batasnya lagi..
Hawa,..
Mengapa tidak kau semaikan rasa malu dalam hatimu?. Mengapa hawa yang ku kenal dulu tidak lagi selembut dulu?. Tidak seperti dulu?. Tutur kata yang petah, alunan suara yang lantang, mengheret aku ke dalam kesedihan yang berpanjangan.. Kau bisa ku samakan dengan teman-temanku yang lain dan jika keadaan ini berterusan, suatu hari nanti.. Hawa akan menguasai dunia dan Adam hanyalah penyeri saja. Dulu ku sanjung tinggi peradabanmu yang kiranya dibandingkan dengan kaummu di luar sana. Tapi kini, kepercayaan ku kian luntur tatkala ku lihat batas-batasmu kian memudar.. dan sedarlah Hawa, dirimu adalah wanita yang menyimpan setinggi-tinggi maruah… Lantaran itu, usah terlalu ghairah denganku. Kau dan Adam mempunyai benteng yang teguh..janganlah dirobohkan….
Hawa ,..
Fahamilah, ku tak ingin kau terlalu menonjol diri.. kerana bagiku hawa adalah sebutir mutiara yang terlalu mahal harganya. Terus terang ku katakan.. Duhai hawa, bukan kemarahanmu ku pinta, bukan sapaan mu yang menggembirakan diriku, tapi mengertilah hawa.. ku mahu kau pelihara kesopananmu dan maruahmu jangan kau perdagangkan.
Hawa,..
Jika bersua muka, tundukkan pandanganmu. Perlahankan suaramu dan usahlah kau terlalu tampilkan dirimu meskipun naluri kita saling memerlukan. Ingatlah hawa, batas-batas pergaulan di antara kita, itulah yang harus dijaga..
Hawa,..
Peliharalah tingkah lakumu tak kira di mana-mana sahaja. Walaupun aku tidak mampu untuk terus menerus memimpin dirimu seandainya kau tersilap langkah, tapi dengarlah hawa.. aku mahu kau sedar!.. Sedar yang dirimu bisa terhumban di persada kehancuran jikalau dikau membiarkan dirimu hanyut dengan pergaulan bebas di kala ini. Kaumku, Adam tidak ingin dunia ini dimamah laknat Allah lantaran dosa yang kita titipkan…
Hawa,..
Sekian dulu. Ketahuilah wahai hawa.. aku amat merindui dirimu yang dulu…

Ingatlah Hawa !

Sabda Rasulullah SAW
" Sesungguhnya penghuni syurga yang paling sedikitadalah kaum hawa "
( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

13 perkara yang perlu dijaga oleh kaum hawa

1. Bulu kening
Menurut Bukhari, Rasulullah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening
atau meminta supaya dicukurkan bulu kening.
( Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari )

2. Kaki dan semacam hantu loceng
" Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya)
agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan "
( Surah An-Nur ayat 31 )

Menampakkan kaki dan menghayunkan atau melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng, sama juga seperti mereka dizaman jahiliah.

3. Wangian
" Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutama hidung yang serombong "
( Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban )

4. Dada
" Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada mereka.
( Surah An-Nur ayat 31)

5. Gigi
Rasulullah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya.
( Hadis Riwayat At-Thabrani )

Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah.
( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

6. Muka dan Leher
Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahiliah yang dahulu.
Bersolek dan menurut maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan kleher seperti orang jahiliah.

7. Pakaian yang nipis atau jarang
Asma binti Abu Bakar telah menemui Rasulullah dangan memakai pakaian yang tipis.

Sabda Rasulullah
" Wahai Asma!, Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidah boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah sahaja "
( Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari )

8. Tangan
"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya.
( Hadis Riwayat At-Thabrani dan Baihaqi )

9. Mata
" Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian daripada pandangannya.
( Surah An-Nur ayat 31 )

Sabda Rasulullah
" Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan yang lainnya.
Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan dan hukumnya haram.
( Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi )

10.  Mulut
" Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik "
( Surah Al-Azhab ayat 32 )

Sabda Rasulullah
" Sesungguhnya akan ada umatku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu di dalam bumi "
( Hadis Riwayat Ibn Majah )

11. Kemaluan
" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan mereka "
( Surah An-Nur ayat 31 )

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya.
( Hadis Riwayat Al-Bazzar )

" Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaianya bukan dirumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah "
( Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah )

12. Pakaian
" Barang siapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata, maka Allah akan memberi pakaian kehinaan di hari akhirat kelak "
( Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah )

Surah Al-Azhab ayat 59
" Hai nabi-nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin,
hendaklah mereka memakai baju jilbab (labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak akan diganggu.
Allah maha pengampun lagi maha penyayang.
Sesunggunya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat.
Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya "
( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

13. Rambut
" Wahai anakku Fatimah!, adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya "
( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

Ketua Bidadari Syurga

 Ketua Bidadari Syurga

Rasulullah صلى الله عليه وسلم ada mengingatkan kita bahawa setiap benda yang diciptakan oleh Allah SWT di muka bumi ini mempunyai perhiasaannya yang tersendiri. 

☑ Perhiasan bagi seorang suami adalah isterinya.
☑ Perhiasan dalam rumah tangga adalah anak-anak.
☑ Perhiasan bagi hari adalah hari jumaat.
☑ Perhiasan bagi bulan adalah bulan Ramadhan.
☑ Perhiasan bagi syurga adalah bidadari.
☑ Perhiasan Al-Quran adalah surah Yaasin.
☑ Perhiasan bagi sekalian Nabi adalah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.

Sebuah kisah yang hebat di sisi Allah SWT, insan yang bernama Imam Sufyan as-Thauri.
Beliau merupakan seorang hamba Allah yang sangat soleh. Beliau beribadat dan solat Subuh ke Isya' serta menulis beribu-ribu kitab. 
Beliau menceritakan, ketika manusia sedang berehat-rehat di dalam syurga, tiba-tiba melintas di hadapan mereka satu cahaya yang menyinar terang. Mereka sangkakan yang cahaya itu Allah SWT, namun ia adalah cahaya dari seorang wanita yang semasa hidupnya sentiasa tersenyum kepada suaminya. 
Oleh sebab itu, dia layak menjadi penghuni syurga kerana kesolehannya.

Betapa beruntungnya wanita, hanya dengan berbakti serta taat kepada suami, mereka layak masuk ke dalam syurga Allah SWT. Suami mereka yang soleh adalah perhiasan bagi wanita solehah ini di syurga.

Wanita Diseru Agar Menjaga Empat Perkara :-

SOLAT
Solat adalah perkara yang paling sukar dilaksanakan oleh wanita. Wanita yang memiliki anak kecil, mereka terpaksa solat dalam keadaan diganggu oleh anak-anak.

PUASA
Wanita terpaksa menanggung bebanan yang berganda ketika puasa. Bagi mereka yang bergelar isteri dan ibu sentiasa bergelut dengan kerja rumah.

FARAJ
Menjaga kehormatan diri, menjauhi zina dan perhubungan dengan 
lelaki yang bukan mahram. 

SUAMI
Taat pada suami adalah amalan yang paling sukar bagi seorang isteri.
Seandainya seorang wanita itu memiliki suami yang kurang baik akhlaknya, 
itu adalah ujian bagi mereka.

Mereka Ketua Bidadari Syurga


Asiah Isteri Firaun
Isteri yang mempunyai suami yang tidak bertanggungjawab kepada Allah SWT serta keluarganya, dia bersabar dengan segala ujian maka ganjarannya adalah syurga.

Maryam Ibu Nabi Isa AS
Ibu tunggal atau janda yang berjaya mendidik anak-anaknya ke jalan yang diredhai Allah SWT. Maka dia akan mendiami syurga yang diketuai Maryam.

Khadijah binti Khuwalid
Beruntunglah wanita yang bersuamikan lelaki budiman, mereka taat pada suami.
Maka berjaya ke syurga Allah SWT yang diketuai oleh Khadijah, 
isteri Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.

Fatimah az-Zahrah binti Rasulullah
Bagi gadis yang hanya mempunyai bapa, maka jaga dan kasihanilah bapamu kerana kelak Allah SWT akan menganugerahkan syurga Nya yang diketuai Fatimah az-Zahrah, puteri Rasulullah.

Aku Ingin Berubah

"Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya 
sekiranya mereka mengetahui"
(Surah al-Ankabut, ayat 64)

Keinginan Untuk Berubah

Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. 
Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar 'setan' itu jauh disudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.
Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikkan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.

Firman Allah S.W.T
"Allah memberi nur langit dan bumi. Umpama cahaya Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang tumbuh bukan di timur atau di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjukki sesiapa yang dikehendakiNya kepada cahaya itu. 
Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu"
(Surah an-Nur, ayat 35)

Bersyukur

Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untu kembali ke pangkal jalan. 
Sebaliknya, bersyukurlah dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan.
Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.


Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. 
Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatangkan kebaikkan dan keseronokkan pada diri.

Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan sesuatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?.

Hidayah Naluri

Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. 
Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri atau keinginan. Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia.
Contonhnya, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar.Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar.

Yang keduannya, ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. 

Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasionalnya sebelum berindak.

Hidayah Agama

Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah S.W.T. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikkan dan meninggalkan larangan Allah sekaligus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.

Hidayah Taufik

Hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hamba yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar ganti dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.

Hidayah diturunkan dengan dua cara iaitu pemberian makhluk sama ada dari kalangan nabi, pendakwah dan sesiapa sahaja. Contohnya, hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun hidayah taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana firman Allah.

"Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah atau petunjuk kepada orang yang engkau cintai, tetapi Allah akan memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki"
(Surah al-Qashash, ayat 56)

Adapun ciri-ciri yang sudah mendapat hidayah, mereka beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.

Biarpun hidayah itu pemberian Allah, tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah.
In Sha Allah, kita pasti akan diberikan hidayah.

Kesedihan di sisi Allah


Kesedihan adalah satu fitrah yang Allah ciptakan kepada hamba Nya.

Kadangkala kesedihan mampu membuat kita kembali kepada Nya dan kadangkala juga kesedihan membuat kita jauh dari Nya. Semuanya berlaku kerana izin Allah Ya Rabbul Izzati.

Maka kemanakah tempat terbaik untuk kita mencurahkan kesedihan agar ia tidak menjadi perkara yang sia-sia?.

Manusia sering kali bersedih kerana perkara duniawi semata-mata. Apabila kita gagal dalam peperiksaan, kita akan sedih. Ketika putus cinta dengan kekasih kita akan bersedih. Hatta apabila kita kehilangan sesuatu yang kita sayangi, kita juga pasti akan bersedih.

Persoalannya, wajarkah untuk kita bersedih semata-mata perkara dunia yang kelihatan besar di mata kita sebenarnya terlalu kecil di mata Allah Azzawajalla.

Hadith Sahih

“Seandainya nilai dunia ini di sisi Allah sama nilainya dengan sayap seekor nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir walau seteguk air”

Menurut Allah, dunia lebih tidak berharga dari sayap seekor nyamuk. Maka inilah hakikat sebenar nilai dan timbangan dunia di sisi Allah.

Lalu atas alasan apa untuk kita bersedih dan gelisah kerana hal dunia semata-mata?.

Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah pernah mengatakan,

“Mengingati Allah itu ibarat air kepada ikan,lihat keadaan ikan apabila berjauhan tanpa air”

Ibnu Qayyim Al Jauziyyah mengatakan,

“Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali gembira mengenali Allah”


Sakinah atau kebahagiaan adalah apabila kita dapat merasakan aman diri sendiri, masa depan, keluarga dan kehidupan. Semua ini terhimpun dalam keimanan, redha terhadap Qadha’ dan Qadar Allah serta diiringi oleh sifat qana’ah dan sabar.

Oleh itu, kembali kepada hakikat hidup yang sebenar. Jadikanlah kesedihan itu sebagai ruang untuk kita meraih pahala daripada Nya dan bukannya kita lemparkan dan luahkan segala kesedihan kita semata-mata kerana dunia, kerana dunia ini terlalu kecil untuk ditangisi.

Jaga Ikhtilat Mu



Apakah Ikhtilat ?

Dari segi bahasa, ikhtilat bererti meramukan, manggaul sesuatu dengan sesuatu yang lain yakni mencampurkannya. 
Istilah syariat pula, pencampuran wanita dengan lelaki iaitu perkumpulan mereka pada satu tempat, sama ada dalam bentuk kumpulan atau bersendirian. Pencampuran di satu tempat selalunya menyebabkan mereka bertemu antara satu sama lain, berpandangan dan bertegur sapa.

" Iblis berkata, Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan jadikan kejahatan terasa indah bagi mereka di bumi dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.
Kecuali hamba-hambaMu yang terpilih di antara mereka "
(al-Hijr:39-40)

Pencampuran Yang Diharamkan

Setelah mengetahui asal hukum pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah HARAM, maka ia adalah sesuatu perkara yang WAJIB DIHINDARI kecuali dalam keadaan terpaksa atau keperluan yang mendesak. 

Harus Kerana Terpaksa

Ikhtilat yang berlaku kerana terpaksa seperti yang disebutkan Imam Nawawi dengan katanya,
Ahli mazhab Syafei berkata
Tidak ada perbezaan dalam pengharaman khulwah (berdua-duaan) sama ada dalam solat atau selainnya.
Dikecualikan dariapada hukum ini keadaan-keadaan yang dharurat, seperti jika seorang lelaki ajnabi mendapati seorang wanita ajnabi bersendirian di jalan, jauh daripada kumpulan manusia tersebut jika dibimbangi keselamatannya, maka pada ketika itu wajib tanpa khilaf.
Antara contoh lain, seorang lelaki ajnabi melarikan wanita dengan tujuan menyelamatkannya daripada diperkosa, jika itu adalah satu-satu jalan untuk menyelamatkan wanita tersebut.

Harus Kerana Keperluan

Ulama berkata, hajat mengambil peranan dharurat dalam mengharuskan perkara yang haram.
Dicatatkan beberapa keperluan yang dianggap mengharuskan ikhtilat antara lelaki dan perempuan.

Ikhtilat Kerana Urusan Jual Beli yang dibenarkan syarak. Harus bagi wanita bercampur dengan lelaki semasa berjual-beli, melakukan tawar menawar, memilih barang dengan syarat tidak berlaku khulwat dan memelihara adab-adabpergaulan.

Ikhtilat Kerana Melakukan Kerja Kehakiman. Wanita harus menjadi hakim dalam perkara lain selain hudud di sisi Hanafiah dan dalam semua perkara di sisi az-Dhahiriah dan Imam at-Tobari. Sudah termaklum kerja seperti ini mengundang pencampuran dengan kaum lelaki yang terdiri daripada pendakwa, tertuduh, saksi dan lain-lain.

Ikhtilat Kerana Menjadi Saksi. Islam mengharuskan wanita menjadi saksi dalam kes berkaitan dengan harta dan hak-haknya. Seperti dinyatakan dalam ayat akhir Surah al-Baqarah

" Menjadi saksi akan mendedahkan diri kepada pencampuran dengan lelaki ajnabi "

Ikhtilat Kerana Amar Ma'ruf Nahi Munkar

Ikhtilat Kerana Melayan Tetamu. HARUS bagi wanita melayan tetamu bersama suaminya dan jika ada alasan yang syarei seperti tujuan memuliakan tetamu dan sebagainya walaupun terpaksa bercampur dengan tetamu. Dalam hadis Bukhari ada diriwayatkan bahawa Ummu Usaid melayani Rasulullah s.a.w dengan menghidangkan makanan dan menuangkan minuman untuk Baginda.

Ikhtilat Dalam Kenderaan Awam. HARUS bagi wanita keluar rumah kerana menunaikan kerja-kerjanya yang diharuskan, walaupun terpaksa bercampur dengan lelaki ajnabi seperti keluar menziarahi dua ibu bapanya, membeli belah dan ke hospita meski pun ia terpaksa menaiki kenderaan awam yang menyebabkan berlakunya pencampuran dengan penumpang lain dari kalangan lelaki ajnabi, dia mungkin duduk atau berdiri disebelahnya.

Ikhtilat Kerana Kerja Jihad, antara contoh pergaulan sewaktu jihad ialah, membawa air, merawat pesakit dan seumpamanya. Semua perkara tersebut adalah HARUS dilakukan oleh wanita kerana maslahah syariah. Bukhari menyebut dalam sahihnya daripada Ar Rabei binti Muawwiz katanya :

" Kami bersama Nabi Muhammad s.a.w merawat pesakit, memberi minum dan menghantar jenazah yang terbunuh ke Madinah "

Ikhtilat UntukTujuan Belajar / Mendengar Nasihat. Bukhari meriwatyatkan,
Rasulullah s.a.w keluar pada satu hari raya dan sembahyang  dua rakaat. Setelah selesai solat, Baginda bepusing menghadap wanita. Baginda menasihati dan menyuruh mereka bersedekah. 
Bersama Baginda ialah Bilal.

Ikhtilat Dalam Suasana Yang Telah Menjadi Kebiasaan. Antara contoh yang berlaku pada zaman sekarang ialah pencampuran sewaktu menziarahi sanak saudara. Dalam suasana yang seperti ini akan berlaku pencampuran antara lelaki dan perempuan pada satu meja makan dan sebagainya. Ini semua diharuskan selama terpelihara adab-adab islamiah.

Apabila Wujud Keperluan Atau Hajat

" Sesungguhnya setiap amal perbuatan itu tergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya setiap orang akan dibalas berdasarkan apa niatnya "
(hadith arba'in an-nawawi)

Pergaulan Semasa Belajar, sebagai pelajar sudah tentu wujud bentuk komunikasi antara rakan sekelas seperti bertanya soalan, study group, dan tugasan secara berkumpulan dan sebagainya.

Adab-Adab Ikhtilat Dalam Islam

Tidak bersentuhan antara perempuan dan lelaki ajnabi.
Tidak melihat perempuan atau lelaki secara mengamati dan menaikkan syahwat.
Memelihara aurat dan kehormatan
Tidak mengeluarkan kata-kata keji, lucah atau menunjukkan tingkah laku yang mendorong kepada melakukan maksiat.
Tidak berdua-duaan terutamannya di tempat yang gelap dan sunyi.

" Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji.
Dan suatu jalan yang buruk "
(Israaa:32)

Aku mencintaimu kerana Allah

Sabda Rasulullah s.a.w :

“ Barang siapa memiliki tiga sifat ini, nescaya ia akan merasakan menisnya iman iaitu :

mencintai Allah dan rasulNya melebihi segala-galanya.

mencintai seseorang hanya kerana Allah dan tidak mahu lagi kembali kepada kafir setelah diselamatkan oleh Allah sebagaimana ia tidak mahu apabiladilemparkan ke dalam neraka.”

FITRAH

Rata-rata golongan manusia termasuk para dai’e pasti pernah atau akan merasai cinta, pasti pernah kecundang dengannya atau mungkin berakhir dengan bahagia.

Sabda Rasulullah s.a.w :

“ Tidaklah sempurna iman seseorang sebelum ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.”

LAYAKKAH?

“Kita tidak boleh mencintai orang lain, sebelum mencintai diri sendiri. Dan kita tidak boleh mencintai diri sendiri sebelum kita mencintai Allah s.w.t.”

Persoalannya, adakah kita sudah mencintai Allah?. Mencintai Allah bermaksud mencintai apa yang Allah cintai dan membenci apa yang Allah benci. Ramai yang sudah mencintai insan lain seawall umur 12 tahun, tetapi adakah mereka mencintai Allah dan diri sendiri?. Jawapannya terdapat pada hubungan itu sama ada ia kekal atau tidak. Cinta pada diri sendiri ialah dengan tidak menzalimi diri sendiri dengan sesuatu.

Firman Allah :
“ Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilahnya (Tuhan) dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmuNya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya?. Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah. Maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?.
(QS 45:23)

FAHAMI

Cinta ialah pertautan dari hati ke hati dan bukan seperti yang diagung-agungkan barat yang memanipulasi cinta dengan ‘contact’ badan iaitu pergaulan bebas. Ingatlah, cinta yang lazimnya ditujukan kepada pemuasan nafsu semata, sebernarnya ialah cinta yang diilhamkan Tuhan untuk haiwan. Yang menghairankan bahawa umat Islam pula yang terkinja-kinja untuk mengikut jejak langkah barat. Buktinya?. Kes cerai, anak luar nikah dan pelbagai kancah zina akibat ‘islamphibia’.

Pesanku

“ Berhati-hatilah menjaga hati dengan berhati-hati meletakkan cinta di dalamnya. Jangan dibiarkan hati itu dipenuhi oleh cinta yang jahat, buruk dan cacat. Bagaimana benih cinta yang kita tanam dan suburkan dalam jiwa, begitulah pohon yang akan tumbuh dan berbuah pada fikiran dan seluruh tindakan.”

PERATURAN CINTA!

hendaklah cinta itu didasarkan pada cinta Allah.

pastikan semasa menjalin hubungan cinta tidak ada hokum Allah yang dilanggar.

“ Tidak perlu bersentuhan tangan kerana mereka sudah bersentuhan hati. Tak perlu berbalas-balas kerlingan kerana mereka sudah pun berbalas-balas doa.”

Hayati firman Allah melalui lidah kekasihnya, Rasulullah :
“..jika seorang hambaNya menahan keinginannya dan sesuatu yang haram kerana Allah, maka Allah akan memberikan sesuatu yang diingininya mengikut jalan yang halal.”

CINTA SEJATI

Pakar psikologi berkata, “ cinta itu komitmen, tanggungjawab dan amanah.” Menurut kamus dewan ke IV, cinta merujuk kepada perasaan atau berperasaan sangat berahi, asyik, kasih dan sayang antara lelaki dan perempuan, perasaan atau berperasaan ingin akan sesuatu. Cinta itu terlalu abstrak dan bersifat maknawi dan amat universal.
Hukama ada berkata, “cinta yang sejati ialah cinta yang tidak bertambah kerana kebaikkan dan tidak berkurang kerana kesalahan.” Cinta sejati itu dialirkan oleh Allah ke dalam hati, ia muncul dari dalam ke luar iaitu dari hati turun ke mata dan anggota lain. Oleh itu, cinta tidak akan di’tidak’kan tetapi ia hanya perlu pengawalan yang ketat.

Nabi s.a.w bersabda :

“ Seseorang itu akan bersama orang yang dicintainya.”

TANDA ANDA SUDAH BERSEDIA ?

Berniat untuk berkahwin dengan si dia demi menjaga agama dan akhlak agar sentiasa terpelihara.

Punyai kekuatan dan ketahanan diri untuk tidak terlibat dengan perkara-perkara yang telah diharamkan agama.

Lulus fardhu ain dan mempunyai tahap akademik yang baik dalam pengajian atau pekerjaan yang tetap. Kepada yang masih belajar, boleh melakukan nikah khitbah.

Istiqomah menjaga solat lima waktu, berpuasa dibulan Ramadhan dan sedang berusaha sedaya upaya menjadi muslim/muslimah sejati dalam erti kata yang sebenar.

Matangkan diri kerana orang yang matang ialah mereka yang mampu berfikir dengan baik, sudah boleh mengawal perasaan dan serba sedikit memiliki jiwa yang tenang.

JADI SOLEH BUKAN CARI SOLEHAH

Firman Allah :
“ Wanita wanita yang tidak baik adalah untuk laki-laki yang tidak baik dan laki-laki yang tidak baik adalah untuk wanita-wanita yang tidak baik. Wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik.
 (QS 24:26)

“ Cinta yang dicari adalah lebih baik tetapi cinta yang didapati tanpa dicari adalah lebih baik.”

“ Kecantikkan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang. Bukan terletak pada wajah dan pakaiannya”

Rasulullah bersabda :

“ Apabila seseorang mencintai saudaranya, beritahukan kepadanya bahawa ia mencintainya.”

Fatimah Al-Zahra Puteri Rasulullah

Tabahkan dirimu bak serikandi Khadijah, Haluskan akhlakmu seperti Fatimah Az-Zahra, Sampaikan ilmumu sebijak si merah Aisyah, Teguhkan imanmu seteguh Sumayyah, Sucikan hatimu seperti Rabiatul Adawiyah, Barulah dirimu menjadi Ainul Mardiyah.

Sabda Rasulullah s.a.w :

" Malaikat turun lalumenyampaikan khabar gembira kepadaku bahawa sesungguhnya Fatimah binti Rasulullah adalah pemimpin para wanita penghuni syurga."

Saidatina Fatimah r.a, puteri Rasulullah s.a.w dilahirkan di Ummul Qura, ketika orang-orang Quraisy membina semula bangunan Kaabah. Fatimah r.a merupakan puteri bongsu dan puteri utama pasangan Rasulullah dan Siti Khadijah. Fatimah membesar di rumah nubuwwah yang suci, matanya celik seawal usia untuk menjadi saksi urusan risalah yang dikhususkan khas Allah bagi ayahnya. Ibunya Siti Khadijah pendamping Rasulullah s.a.w.
Suami Fatimah adalah khalifah Ar-Rasyidin yang utama, Saidina Ali bin Abu Thalib r.a. Anak-anak kepada pasangan ini adalah dua orang pemimpin para penghuni syurga, dua cucu Rasulullah, Al-Hasan dan Al-Husin.

Wanita yang Sabar dan Bertaqwa

Fatimah menyaksikan segala bentuk kesulitan yang dihadapi Baginda, malahan beliaulah yang mengubati kesedihan dan menghiburkan hati bapanya saat berhadapan dengan kejahilan kaum musyrikin ketika itu.
Salah satu peristiwa yang kekal diingatan puteri Rasulullah ini ialah apabila menyaksikan penghinaan dari salah seorang Quraisy yang kasar dan sangat buruk tingkahlakunya, Uqbah bin Abu Mu'aith. Si jahil ini menawarkan diri untuk melemparkan kotoran isi perut unta ke belakang tubuh Rasulullah ketika baginda sedang sujud seihngga baginda tidak mampu untuk bangkit dari sujudnya. Saidatina Fatimah mendatangi bapanya untuk membersihkan kotoran tersebut, sebelum menghampiri kelompok musyrikin yang merancang perbuatan keji itu. Dengan lantang dan penuh berani, beliau mencaci dan mencela tindakan mereka yang sangat tidak beradab itu. Seusai solat tersebut, Rasulullah menadahkan tangan baginda dan berdoa bagi kecelakaan mereka, dengan bersabda :

" Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Syaibah bin Rabi'ah, Abu Jahl bin Hasyim, Uqbah bin Abu Mu'aith dan Ummayah bin Khalaf."

Doa Baginda dikabulkan Allah s..w.t, nama-nama kaum musyrikin yang disebutkan di dalam doa tersebut terbunuh semasa Perang Badar.
Kehidupan Saidatina Fatimah juga tidak lari dari penderitaan akibat perbuatan kejam kaum musyrikin yang membenci dakwah rasulullah s.a.w. Salah satunya ialah ujian pemboikotan ke atas seluruh kaum Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib di mana orang-orang Musyrik menemukan kata sepakat untuk melancarkan boikot secara penuh terhadap mereka. Tidak ada urusan jual beli, tidak ada pembicaraan, tidak ada pergaulan sehinggalah Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib menyerahkan Rasulullah kepada orang-orang Quraisy.
Akibatnya, seluruh kerabat Rasulullah kecuali Abu Lahab dipulaukan dan dikepung di perkampungan Abu Thalib. Sepanjang tempoh hampir tiga tahun itu, seringkali kedengaran tangisan anak-anak kecik dan rintihan para wanita lantaran kelaparan. Natijah dari peristiwa ini, kesihatan Saidatina Khadijah merosot dan berlanjutan sehinggalah beliau kembali bertemu dengan Rabbnya.
Kesan terbesar dari episod permulaan tersebut ialah pemergian ibunya. Dengan kehilangan itu, Fatimah lah yang sering memikul beban kehidupan dan berkongsi penderitaan berat yang dialami oleh Rasulullah s.a.w. Walaubagaimanapun, hal tersebut malah menambahkan keimanan dan ketaqwaan dirinya serta membuatkan beliau semakin dekat dengan ayahnya.
Saidatina Fatimah juga antara wanita yang berhijrah. Di Madinah, beliau membuka lembaran baru kehidupan dikelilingi kaum yang murah hati, yang mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka serta melebihkan kaum Muhajirin lebih dari diri mereka sendiri.

Teladan Rumahtangga Ali dan Fatimah


Pada tahun kedua selepas Hijri, Saidina Ali bin Abu Thalib menikahi Saidatina Fatimah dengan maharnya baju besi yang nilainya hanya empat dirham. Pernikahan penuh berkat itu terjadi setelah Perang Badar Al-Kubra.
Semenjak hari pertama pernikahannya dengan Ali, beliau terpaksa mengerjakan seluruh tugas rumah tangga yang sangat berat ketika itu. Bermula dari menggiling bahan makanan dan membuat adunan roti.
Beliau juga memproses dan memasak adunan roti tersebut. Ini kerana suaminya tidak pernah mengupah pembantu untuk membantu Fatimah dalam menyelesaikan urusan rumahtangganya. Bahkan Ali sempat berpesan kepada ibunya Fatimah binti Asad,
" Janganlah membebani Fatimah dengan pekerjaan di luar rumah dan cukuplah dia mengerjakan pekerjaan di dalam rumah, membuat tepung, adunan roti dan memasak."
Ali juga menyedari kesan-kesan keletihan di wajah Fatimah, tetapi beliau sering menghiburkan isterinya dengan menyebutkan harta rampasan dan tawanan perang akan datang kepada mereka.

Apabila tiba masa yang sesuai, Ali menasihati isterinya agar mendatangi Rasulullah untuk meminta seorang pembantu dari kalangan tawanan perang. Permintaan keduanya ditolak secara baik oleh Rasulullah kerana Baginda lebih mementingkan kemaslahatan kaum muslimin yang lain. Rasulullah menyusuli pasangan tersebut di waktu tengah malam dan bersabda kepada keduanya :

" Bagaimana jika kuberitahu kepada kalian berdua tentang sesuatu yang lebih baik dari apa yang kalian pinta kepadaku?. Ada beberapa kalimat yang diajarkan Jibril kepadaku, hendaklah kalian bertasbih kepada Allah di hujung setiap solat sebanyak sepuluh kali, bertahmid sepuluh kali dan bertakbir sepuluh kali. Jika kalian beranjak ke tempat tidur, bertasbihlah tiga puluh kali, bertahmidlah tiga puluh kali dan bertakbirlah tiga puluh kali. "

Kalimah ini menjadi bekalan Ali dan Fatimah yang sentiasa mereka lafazkan sehingga akhir hayat mereka.

Kemuliaan Peribadi Fatimah

" Di antara para wanita yang suci dan bertaqwa ialah Fatimah r.a.
Dia menghindari dunia dan kesenangannya, mengetahui aib dan bencananya."

Kehidupan Fatimah Az-Zahra diwarnai kesederhanaan namun ditaburi barakah dan cahaya yang mengisyaratkan zuhud, wara' dan ketakutannya pada Allah serta sentiasa membuat baik semata-mata untuk meraih keredhaanNYa. Rasulullah pernah menegur Fatimah ketika puteri kesayangan Baginda itu mengenakan seuntai kalung emas hadiah pemberian suaminya. Rasulullah kemudiannya bersabda :

" Inilah Fatimah binti Muhamad, yang di tangannya terpegang kalung dari api neraka?."

Saidatina Fatimah lantas membeli seorang hamba dengan kalung emas tersebut dan memerdekakannya. Sebaik Rasulullah mengetahui hal tersebut, Baginda bersabda :

" Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan Fatimah dari api neraka."

Fatimah Az-Zahra mencapai tingkat ketaqwaan, keutamaan dan zuhud yang tidak terkalah oleh wanita di zamannya. Beliau turut menepati kedudukan yang tinggi dalam hal As-shiddiq, yang suci dan diberkati. Kemuliaan ini diakui oleh Saidatina Aisyah dengan menyebutkan,

" Aku tidak melihat seseorang yang lebih benar perkataannya selain Fatimah, kecuali ayahnya."

Beliau menduduki tempat kedudukan istimewa di antara para wanita Islam, sehingga beliau mendapat sebutan 
Al-Batul, kerana kelebihan beliau di dalam lapangan ibadah, ditambah dengan kelebihan agama dan keturunannya.

" Fatimah seorang wanita yang sabar, taat beragama, baik, menjaga kehormatan diri, suka bersyukur kepada Allah dan Rasulullah sangat memuliakannya."

Mujahidah yang Memenuhi Hak

Saidatina Fatimah tercatat di antara tokoh muslimah yang namanya ahrum di medan perang. Di dalam perang Uhud, Imam Bukhari mengisahkan peranan Fatimah :

" Beberapa orang wanita dikalangan Muhajirin dan Ansar termasuk Fatimah
keluar sambil mengusung air dan makanan di belakang mereka. Ketika beliau menyaksikan darah mengucur di wajah ayahnnya, maka beliau segera memeluknya lalu mengusap darah di wajah baginda. Pada saat itu Fatimah bekata :

" Amat besar kemarahan Allah s.w.t terhadap orang-orang yang membuatkan wajah RasulNya berdarah."

Sah'l bin Sa'd menceritakan peristiwa tersebut dengan menyatakan :

" Rasulullah terluka sehingga gigi baginda patah. Fatimah mencuci darah yang mengucur di wajah Baginda, dan Ali mengalirkan air dengan menggunakan bekas air. Ketika Fatimah melihat bahawa air tersebut semakin membuatkan darah mengalir deras, maka beliau mengambil potongan tikar dan membakarnya sehingga menjadi abu. Lalu disapukan di luka Baginda, sehingga darah tidak lagi mengalir dari luka tersebut. "

Kekasih Rasulullah

Rasulullah pernah ditanya oleh seseorang.

" Siapakan orang yang paling engkau cintai?."

Baginda menjawab :

" Fatimah "

Fatimah menduduki tempat tersendiri di dalam hati Rasulullah, yang tidak dapat ditandatangani oleh wanita-wanita lain. Cukuplah kemuliaan baginya seperti yang digambarkan oleh Saidatina Aisyah r.a :

" Aku tidak melihat seorang pun di antara manusia yang lebih mirip dengan Rasulullah dalam perkataannya, dalam ucapannya dan cara duduknya melainkan Fatimah. Jika Rasulullah melihat Fatimah datang, maka Baginda menyambutnya, bangkit, menghampirinya lalu memeluknya, memegang tangannyadan mendudukkannya di tempat yang sebelumnya baginda duduk. Jika Nabi Muhamad yang datang, maka Fatimah menyambutnya, bangkit menghampiri Baginda dan memeluknya."

" Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian dari diriku dan aku tidak suka jika ada sesuatu yang menyakitinya."

Ibnu Abdil-Barr menyebutkan keluhuran Fatimah yang mengisyaratkan keutamaan beliau disisi Rasulullah dan berkata :

" Jika Rasulullah tiba dari peperangan atau perjalanan jauh, maka yang pertama sekali Baginda lakukan ialah memasuki masjid dan melakukan solat dua rakaat, menemui Fatimah dan barulah kemudiannya menemui isteri-isteri Baginda yang lain."

Perjalanan Menuju Keabadian

Di akhir hayat Rasulullah, Ummul Mukminin Aisyah menuturkan :

" Kami isteri-isteri Baginda berkumpul hampir dengan Rasulullah. Baginda tidak mendekati salah seorang dari kami, kecuali apabila melihat kehadiran Fatimah yang gaya jalannya sangat mirip dengan gaya jalan Rasulullah. Baginda menyambut kehadiran puterinya lalu mendudukkannya sangat hampir di sisi dirinya. Kemudian, Baginda membisikkan perkataan yang mampu membuatkan Fatimah menangis, dan bisikan kedua membuatkan Fatimah tersenyum. Kami hanya mengetahui perkara tersebut setelah Rasulullah wafat."

Fatimah berkata, sabda Baginda :

" Pada kali pertama, Baginda memberitahu kepadaku bahawa biasanya Jibril memperlihatkan Al-Quran sekali dalam setahun. Sementara pada tahun ini, dia memperlihatkannya dua kali."

Maka Fatimah menangis. Ketika melihat kesedihanku, maka Baginda bersabda :

" Apakah engkau tidak redha sekiranya engkau menjadi pemimpin para wanita alam semesta atau para pemimpin wanita umat ini."

Maka Fatimah pun tersenyum.

Nisa' Mubassyarat Bil Jannah

Rasulullah bersabda :

" Wanita penghuni syurga yang paling utama ialah Khadijah binti Khuwalid, Fatimah binti Muhamad, Asiah binti Mazahim yakni isteri firaun dan Maryam binti Imran."

" Malaikat turun kepadaku menyampaikan khabar berita gembira bahawa Fatimah binti Muhamad adalah pemimpin para wanita penghuni syurga."