Al-Haudh

Imam Ahmad bin Hanbal

" Beriman dengan adanya Al-Haudh bahawa Rasulullah s.a.w memiliki sebuah telaga pada Hari Kiamat yang didatangi oeh umat beliau. Lebarnya sama seperti panjangnya, iaitu sejauh perjalanan satu bulan. Bekas penciduknya sebanyak bintang-bintang di langit "

Apa dia Al-Haudh?

Al-Haudh dalam erti bahasa iaitu kolam atau telaga, tetapi kolam Al-Haudh kepunyaan Nabi Muhamad s.a.w di akhirat.
Al-Haudh merupakan sesuatu yang telah ditetapkan dalam aqidah akan kewujudannya dan wajib diimani.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w

" Telagaku seluas perjalanan selama satu bulan perjalanan dan panjang tepi-tepinya sama demikian. Airnya lebih putih dari susu, wanginya lebih wangi dari minyak misk, cangkirnya pula sejumlah bintang-bintang yang ada dilangit. Barang siapa yang telah meminum air telagaku, nescaya tidak akan merasa haus untuk selama-lamanya "

Bagaimana aku dapat menuju ke telaga mu ya Rasulullah?

Beberapa perkara khusus yang dengannya kita dapat sampai dan minum di telaga Al-Haudh.

1. Berpegang teguh dengan kitab Allah dan sunnah Rasulullah serta tidak melakukan bid'ah atau mengubah ajaran Nabi.

Sabda Rasulullah

" Sesungguhnya aku telah meninggalkan untuk kalian dua pedoman yang kalian tidak akan tersesat setelahnya, iaitu Kitab Allah dan Sunnahku. Keduanya tidak akan terpisah sampai mendatangiku di Al-Haudh "
( Al-Mustadrak Al-Hakim, 319 )

2. Tidak sombong, ego, zalim dan menjaga sikap dari mementingkan diri sendiri serta melazimi kesabaran dan kebenaran.

Hadis dari Usaid bin Hudhair, Rasulullah berkata kepada seorang lelaki dikalangan Ansar

" Sepeninggalanku nanti kalian akan menemui atsarah, maka bersabarlah sehingga engkau menemuiku di Al-Haudh "

* Atsarah adalah suatu keadaan di mana hak-hak kalian dinafikan dengan cara yang bathil dan tidak amanah. Atau merujuk kepada masa dimana ramainya orang zalim, tidak amanah dan mementingkan diri serta mengambil harta dengan cara yang bathil.

3. Menjaga wudhu dengan sempurna.

Hadis dari Hudzaifah, Rasulullah bersabda

" Sesungguhnya haudhku sejauh dari Ailah dengan Adn. Demi yang jiwaku di tangan Nya, sesungguhnya aku menghalau beberapa orang darinya sebagaimana seorang lelaki menghalau unta lain dari tempat minumnya "
Mereka bertanya,
" Wahai Rasulullah, adakah engkau mengenal kami? "
Rasulullah menjawab,
" Ya, kalian menemuiku dalam keadaan memiliki kesan putih bercahaya disebabkan bekas wudhu yang mana tidak seorang pun memilikinya selain kalian "

Ya Allah, berikanlah kami minum dari telaga Al-Haudh, telaga Nabi Mu.
Dan jadikanlah kami pengikut sunnah beliau, teguhkan kami di atas jalanya, serta jadikanlah kami termasuk dalam golongannya,
dan peliharalah kami serta jauhkan kami dari bid'ah dan perkara yang membuatkan kami menyimpang dari agama Muhamad sehingga menyebabkan kami dijauhkan dari Haudhnya.
Amin

Jaga Diri Sayang

Bermula dengan perbualan biasa, bergurau senda, percampuran barisan semasa membeli makanan di kantin atau gerai-gerai jualan, percampuran jantina dalam setiap aktiviti yang dijalankan dan sebagainya itu adalah permulaan kepada pergaulan bebas.

Pada mulanya, pandang-memandang. Lama-kelamaan, memberi kesan ke dalam hati kerana pandangan mata merupakan busur panahan dari iblis.

Rasulullah bersabda yang bermaksud
"Panahan mata itu merupakan satu daripada sekian anak panah..”

Pandangan pertama adalah anugerah atau lebih tepat lagi dikatakan sebagai ‘lampu hijau’. Manakala pandangan kedua adalah ‘lampu kuning’. Dan pandangan yang ketiga pula merupakan ‘lampu merah’. Jika lebih daripada itu, maka berlakulah maksiat yang dinamakan sebagai ‘zina mata’.
Pandangan yang berulang-ulang adalah suis utama yang menyalakan api rindu. Bagi mereka yang memandang dengan sepintas lalu, sangat jarang dan kecil peratus hatinya terusik ataupun untuk jatuh hati.

Ibn Qayyim memberikan sebab mengapa rasa rindu berlebihan terjadi. Antaranya, hati tidak terisi oleh rasa cinta, syukur, zikir dan ibadah kepada Allah sebaliknya, lebih kepada perbuatan mata meliar. Pandangan dan renungan mata adalah jalan yang menuju kepada kesedihan dan keresahan.

Ibn Qayyim menyatakan : “Orang yang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak ditimpa pelbagai kerosakkan. Barang siapa yang terjatuh ke dalamnya, maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri, tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya”.

Masa remaja adalah masa yang penuh dengan gelora perasaan kerana masa remaja merupakan transisi menuju ke alam dewasa. Remaja dan cinta memang tidak dapat dinafikan lagi. Perasaan ingin menyayangi dan disayangi itu sentiasa ada dalam setiap sanubari remaja.

Islam tidak mugkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti sedia ada jika manusia diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu? Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik.
Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah pelaksanaannya. Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termeterainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Satu-satunya ruang cinta yang diredhai Allah ialah cinta selepas diijabkabulkan.

Rasulullah juga mempunyai perasaan menyayangi dan disayangi. Cintanya pada Siti Khadijah, isteri baginda melalui ranjau perjuangan. Siti Khadijah lah yang telah banyak memberi perangsang kepada baginda. Kasih sayang Siti Khadijah telah menyelimuti hati baginda ketika keluh kesah.
Islam sama sekali tidak menghalang rasa kasih sayang itu. Buktinya ditunjuk melalui Rasulullah SAW. Baginda menangis ketika Siti Khadijah pergi meninggalkan alam ini sehinggakan tahun pemergian Siti Khadijah dikatakan tahun berkabung (berduka cita). Berkasih sayang itu fitrah. Memang tidak salah. Tapi janganlah sampai melanggar batas-batas yang disarankan oleh agama kita. Andai benar cinta dan sayang, pasti kita mahu diri dan pasangan sama-sama berkasih sayang di Syurga-Nya kan? Jadi, peliharalah! Agar jodoh kita juga terpelihara. Jangan sesekali biarkan Syaitan ketawakan kita di Neraka.